Bapa Kemerdekaan – Tunku Abdul Rahman

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari  1955 dan Perdana  Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Perjuangan

Perarakan kemerdekaan di bandar Hilir,Melaka
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ingin menyatukan bangsa Melayu daripada belengu penjajahan British. Pada tahun 1951, Tunku telah dilantik untuk mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO. Tunku menjalankan rundingan diplomatik dengan pihak British sehingga berjaya menarik pemimpin-peminpin kaum Cina dan India untuk membentuk kerajaan gabungan pelbagai kaum dengan Parti Perikatan.

Dalam memastikan kejayaan rundingan, Tunku telah berusaha mendapatkan sokongan semua pemimpin kaum bukan Melayu di negara ini dan mengundang mereka bersatu, menyertai rombongan rundingan kemerdekaan Tanah ke London. Tunku bukan sahaja telah berjaya menyatupadukan penduduk Tanah Melayu(Kaum Melayu, Cina dan India) malah menyediakan asas kepada keharmonian negara sehinggalah mendapat persetujuan British untuk diberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Ahli rombongan Rundingan Kemerdekaan yang mewakili Parti Perikatan terdiri daripada Tunku, Tun Abdul Razak, H.S Lee dan T.H Tan, Tan Cheng Lock, V.T Sambanthan dan E.E.C Thuraisingham. Di samping itu, Tunku turut berjaya menarik penyertaan wakil Raja Melayu walaupun pada mulanya Raja-Raja Melayu tidak yakin dengan kebolehan Tunku untuk mendirikan kerajaan sendiri.

Pada 2 Januari 1956, rombongan telah berlepas ke London dan kembali pada 20 Februari 1956. Mereka diberi sambutan meriah dalam perhimpunan di Padang Merdeka Bandar Hilir, Melaka.

Tunku mengumumkan tarikh kemerdekaan ditetapkan pada 31 Ogos 1957. Draf perlembagaan oleh Suruhanjaya Reid teleh diterima oleh Parlimen British pada Jun 1957 dan dibentangkan untuk diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Kemudian pada 15 Ogos 1957, upacara menandatangani Perjanjian Merdeka 1957 dijalankan antara raja-raja Melayu dengan British di King’s House.

Pada malam 30 Ogos 1957, di hadapan Padang Kelab Selangor, bendera Union Jack diturunkan dan dinaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pada pagi 31 Ogos 1957, peristiwa pemasyhuran kemerdekaan disaksikan oleh ribuan rakyat di Stadium Merdeka. Wakil Ratu Elizabeth, Duke of Wellington telah menyerahkan dokumen Perisytiharan Kemerdekaan kepada Yang Di-Pertuan Agong. Penyerahan ini menandakan pemulangan kuasa politik negara ini kepada pemerintah tempatan setelah dikuasai oleh penjajah selama hampir 446 tahun!   Klimaksnya ialah laungan keramat merdeka oleh Tunku Abdul Rahman. 

Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan kemerdekaan negara
di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Comments

Popular Posts